IBU, MADRASAH PERTAMAKU
“Kelahiran. Bagiku istimewa! Kubersyukur pada mu. Bonda....,” begitulah bait-bait lagu nyanyian Adi Putra dalam drama Tanggang yang sering kudengari apabila drama tersebut di siarkan oleh stesen TV3.
“Kelahiran” semula sebagai seorang anak yang memahami suka duka dan pahit manis sebagai seorang ibu yang telah membesarkan kita. Memahami susah payah dan perit getir melahirkan anak dengan setinggi harapan dan sedalam lautan kasih sayangnya. Ibu yang sanggup mempertaruhkan nyawa ketika melahirkan,bersengkang mata untuk menyusukan, menggadaikankan segala tenaga dan kerehatan semata-mata bagi melihat anaknya dibesarkan dengan aman tenteram tanpa ada anasir yang boleh memudaratkan anak-anaknya. Tidak dapat ku gambarkan betapa bersyukurnya aku mempunyai seorang ibu.
Ibuku, kaulah segala-galanya! Walaupun ibuku telah tiada,namun jasa dan kasih sayangnya tidak dapat ku balas sampai bila-bila. Walau di bayar wang berjuta, walau ku abadikan diri ini sehingga lanjut usia, namun aku tetap tidak dapat membalasnya. Banyak sungguh jasa yang telah dicurahkan. Banyak sungguh budi yang telah ditaburkan! Banyak juga didikan dan tarbiyyah yang di perturunkan agar ku menjadi insan berguna kepada Allah ,Rasul manusia.dan alam semesta. Semua detik indah dan manis ini tidak mungkin dapat ku lupa.
Masih lagi ku terbayang dan merasai betapa sukar dan sakitnya untuk menjadi seorang ibu buat pertama kalinya. Saat ku mengandung, saat ku kesakitan menunggu kelahiran, saat ku melahirkan, membuatkan aku sangat mensyukuri kasih sayang dan pengorbanan ibu. Penuh dengan pancaraoba dan memeritkan! Pengalaman mengandungkan anak pertama, aku tidak dapat makan dan minum dengan sempurna walaupun jangka masa aku mengandung sudah mencecah 9 bulan lamanya. Muntah-muntah yang mengeluarkan segala isi dalam perut dan cecair berwarna kuning, amat pahit dan masam yang terhambur dari perut ku ini, membuatkan aku agak serik bagi mengandung lagi. Tambahan pula ketika mengandungkan anakku, kandungan ku sentiasa berada dalam keadaan songsang. Sehinggalah saat kelahiran tiba, aku masih lagi dalam keadaan yang serupa.
”Ya Allah….tolonglah hambamu ini ya Allah!Aku mengharapkan Ihsan dan kasih sayang Mu, Ya Allah. Aku juga mengharapkan pemeliharaan dan perlindungan Mu, Ya Allah. Tanpa rahmat dari Mu tak mungkin dapat ku mengharungi dugaan yang sungguh mencabar ini,” aku berdoa berulang kali.
Kelahiran pertama secara normal menyaksikan bagaimana anak ku muncul ke dunia ini dengan kaki kanannya terlebih dahulu menjenguk dunia. Ya Allah, mengapa dan bagaimanakah semua ini boleh terjadi pada diriku?
Hatiku berlagu kegusaran yang tidak bertepi, “Inilah pengalaman pertama ku, tiba-tiba dugaan ini dikenakan Allah terhadap ku. Selamatkah aku? Selamatkah anak ku nanti?”
Hati gusar ku berlagu lagi. Tambahan pula tali pusat telah melilit leher anakku. Berkat kepakaran dan pengalaman doktor yang membidani ku, akhirnya, tali pusat yang melilit leher anakku dilepaskan, kaki, tangan dan kepala satu persatu dapat dikeluarkan.
Pertama kali ku terpandang akan anakku, hatiku terdetik, “Eh! Mengapa badan anakku biru kehitaman begini? Mengapa anakku tidak menangis sebagaimana kelahiran bayi-bayi lain yang biasa ku lihat di kaca televisyen? Beginikah rupanya keadaan bayi yang baru dilahirkan?”
Bermacam-macam soalan terpacul dari mulut ku,walaupun aku sangat keletihan. Rupa-rupanya, anakku kelemasan kerana masa yang lama telah diambil untuk melahirkannya. Namun, Alhamdulillah aku tetap bersyukur. Jika begitu yang telah ditakdirkan untuk aku mengharungi cabaran untuk mendapatkan zuriat dari Mu, ya Allah. Itulah pengajaran pertama untuk ku menghargai jasa ibu. Penat, letih, tidak lalu makan, tidak dapat tidur, mengharungi pelbagai kesakitan dan bertarung nyawa demi untuk melahirkan ku. Terima kasih ibu! Kerana telah mengandungkan ku, menjaga ku dengan baik dan memberi pendidikan kepada ku.
Hatiku berkata lagi, ”Terima kasih, Ya Allah kerana Engkau memberi kekuatan kepada ibu ku untuk terus memelihara dan menyayangiku!”
Bagaikan masih terbayang-bayang bagaimana ibuku membesarkanku, mendidikku dengan penuh sabar dan memberi perhatian bak menatang minyak yang penuh. Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang miskin tetapi kaya dengan kasih sayang. Aku merupakan satu-satunya anak perempuan dari enam beradik, yang menjadi pengikat kasih sayang kedua ayahanda bonda. Dapat ku rasakan betapa kasih sayang mereka tercurah kepada ku. Maklum sahaja ah, aku satu satunya anak perempuan mereka! Walaupun boleh dikatakan aku anak emas ibu dan bapa, tetapi aku tidak terkecuali dalam mengikuti disiplin dalam keluarga sebagaimana yang dikenakan terhadap abang-abangku.
Ku ingat lagi, zaman kecil ku, bukanlah sepertimana kanak-kanak yang lain. Mendapat anak patung plastik yang murah harganya telah membuatkan ku melonjak kegembiraan. Dapat bersiar-siar dengan membonceng basikal bapaku, telah membuatkan aku merasakan seperti dunia ini aku yang punya! Dapat bermain “Lawan pecahkan biji getah”, ”Police Sentry”, Galah Panjang dan Konda Kondi telah membuat ku kuat ketawa walaupun aku tidak dapat keluar dari kampung dan berada di kepompong yang sama! Aku tahu kemiskinan ibubapa. Aku amat maklum kedhaifan keluarga. Tinggal di rumah kecil beratap rumbia, berpelitakan minyak tanah ketika malam menjelma, minum dan mandi dengan air telaga, memasak menggunakan bahan api dari ranting kayu dari kebun getah juga kulit kayu balak yang ku kutip bersama ibu ku dari kilang kayu yang jaraknya 5 km dari rumah ku, telah menjadi perkara biasa. Satu perkara yang tidak pernah dirasai oleh generasi zaman sekarang apatah lagi anak-anak kita. Itulah ikhtiar hidup dan sikap daya tahan yang ku perolehi sejak di zaman kecil ku lagi.
Pengajaran yang sangat berguna untuk ku sentiasa bersyukur di atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala. Kesusahan membuatku “Alah Bisa,Tegal Biasa”. Dapat melawat dan berziarah ke sana sini pada waktu kecil ku, bukan juga perkara biasa. Maklum sahajalah,satu-satunya pengangkutan yang kami ada hanyalah sebuah basikal tua. Masih ku ingat ibu ku banyak memberi kata-kata perangsang pengubat jiwa dalam loghat utaranya, “Tidak apa kita miskin dunia, tetapi biarlah kita kaya di akhirat sana! Kita bukan orang kaya tetapi emak percaya satu hari nanti “Chek” pasti akan keluar juga dari kampung kita. Pada masa itu, “Chek pasti akan tengok “dunia” di luar sana!”
Begitulah kata-kata hikmat ibuku yang sentiasa tersemat dijiwa. Biar miskin dunia,tapi kaya di akhirat sana! Memang benar kata-kata ibu ku, juga doa yang tidak pernah putus daripadanya. Kini aku telahpun melihat “dunia” di luar sana, melawat dan berziarah lebih jauh dari yang ku sangka. Bukan setakat di dalam negara kita, bahkan banyak juga negara luar yang telah aku lawati berkat doa ibuku dan rezeki dari Allah yang Maha Kuasa. Di antara negara yang telah ku jejakkan kaki dan lawati termasuklah Itali, United Kingdom, Amerika, Arab Saudi, Singapura, Jepun dan Indonesia.
Kini satu-satu perkara yang akan sentiasa aku memburunya. Kaya di akhirat sana nanti! Aku pasti itulah yang akan memberikan ku kehidupan yang lebih bermakna. Kini aku tahu, sabar dengan kesusahan yang dialami satu waktu dahulu, mengambil pelajaran dari banyak situasi sukar, memberikan pelajaran yang berguna dalam kehidupan ku kini. Satu prinsip yang ku pegang sehingga kini ialah “Setiap hari adalah pelajaran”. Prinsipku mungkin berbeza dan mungkin sama dengan orang lain. Bagiku setiap cabaran samada yang baik atau buruk, senang atau susah,kejayaan atau kegagalan memberikan ku Ilmu yang sangat berguna. Aku sentiasa mengambil makna kesusahan, keburukan dan kegagalan sebagai satu cabaran dan mengambil sikap yang Positif terhadapnya. Berdepan dan menjangkaui cabaran itu!
Aku sangat mengagumi ibuku dalam hal kasih sayang, kesabaran dan menerima kekurangan suaminya. Menerima dengan redha akan kekurangan suaminya yang fizikalnya bukan seperti manusia normal yang lain.
”MasyaAllah!” Itu lah yang keluar dari bibirku, bila ku kenang kembali, agaimana manusia seperti ibuku boleh redha menerima bapaku yang cacat dan tempang kakinya sebagai suami sedangkan ibuku boleh sahaja memilih orang lain sebagai suaminya. Tidak menolak apabila keluarga mengatur urusan perkahwinannya. Bukan ibuku tidak tahu apa yang bakal ditempuhi jika bersama suami yang tidak sempurna. Cacian, makian dan hinaan pasti akan ditempuhi ibuku sepanjang perjalanan melayari bahtera. Tetapi, ibuku tetap bersabar dan redha.
Masih ku ingat lagi, ketika aku belajar kelas agama di Madrasah berdekatan rumahku. tiba-tiba salah seorang Ustaz telah berkata, “Ini anak ‘A** si capik itu, bukan? A** capik ada di mana?”
Panggilan dan hinaan tersebut cukup meruntun hatiku. Benci sungguh aku pada Ustaz itu, bila perkataan ‘Capik’ atau tempang dipanggil pada bapa ku. Mengapa seorang yang bergelar Ustaz boleh menghina bapaku sebegitu rupa? Hina sangatkah manusia yang capik kakinya? Tidak layakkah manusia tempang seperti bapaku menjalani kehidupan didunia yang sama?
Hatiku sentiasa bertanya, ”Siapakah yang lebih mulia? Orang yang menghina atau orang yang dihina?”
Moga Allah mengampuni dosa Ustazku itu. Ustaz ku juga manusia biasa dan aku telah mengampuni dosanya kerana membuat aku membenci dirinya. Aku juga tahu, banyak ilmu yang telah diajarinya dan banyak manfaat yang aku peroleh dan praktikkan daripadanya. Tetapi yang pasti, tentu ilmu yang baik-baik sahaja yang aku ikut.
Apa pula kata ibuku ketika aku mengadu padanya? Dengan nada bersahaja ibu ku berkata dalam loghat utaranya yang pekat, ”Biarlah apa orang hendak kata, bila sudah penat nanti berhentilah mereka itu!”
Sungguh mulia hati ibuku. Kelembutannya dalam melayani kami, kesabarannya dalam membesar, mengasuh dan mendidik kami, sanggup mengharungi cacian, hinaan dan pandangan serong masyarakat apabila bersuamikan lelaki cacat, kasih sayang yang tidak bertepi terhadap kami adik beradik dan suami tercinta, ketabahan hati bila berhadapan dengan cubaan dan kesusahan hidup, keteguhan iman dan akhlaq yang diajarkan membuatkan aku berasa kagum mempunyai seorang ibu seperti ibu\ku. Kaulah ibu sejati, tidak ada tandingan berbanding ibu yang lain dalam mendidik ku.
Hidup dalam kesusahan juga melatih ku mempunyai sifat mengasihani kesusahan orang lain. Kehidupanku sekarang banyak dipengaruhi bagaimana didikan ibuku yang bersikap berpada dengan apa yang ada. Kadang kala aku tidak dapat menyesuaikan diri dengan kesenangan yang ada sekarang dan kesusahan yang ku alami dimasa lalu. Hendak membeli sesuatu yang agak mahal harganya, membuatkan ku berfikir sepuluh kali dalam membuat keputusan samada mahu membelinya atau dilupakan saja. Ibuku banyak mengajarku supaya berjimat cermat memandangkan wang bukanlah sesuatu yang mudah untuk ku perolehi. Bapaku semasa ku kecil, hanyalah seorang penjaja di Pekan Sungai Petani. Mengayuh basikal dan menjual kepada pembeli yang lalu lalang disekitar basikal tua yang digunanya. Pendapatan pula berapa sangatlah yang diperolehinya. Untuk membeli sesuatu, ibu mengajarku mengumpulkan wang belanja sekolah agar dapat aku bersyukur dengan setiap sen yang aku guna. Sikap itu terbawa-bawa sehinggalah sekarang apabila anak-anakku meminta-minta untuk membeli sesuatu yang diingini yang agak mahal harganya walaupun bukanlah bermakna aku sangat berkira atau kedekut dengan wang yang ada. Kalau yang mahal harganya, biarlah suamiku sahaja yang membuat keputusannya. Bagi ku, wang yang aku belanja biarlah berpatutan dan tidak membebankan keluarga.
Lahir didalam keluarga yang miskin, memberikan ku banyak pelajaran yang berguna. Tahu asal-usul diri, tidak akan menjadikan kita gelap mata, bahkan menjadikan kita lebih bersifat Ihsan, simpati, memahami kesusahan orang disekeliling kita. Melayani kerenah manusia yang pelbagai juga meningkatkan lagi tahap kesabaran dan keimanan kita. Bukankah Nabi Muhammad saw pernah bersabda ”Sabar itu separuh dari Iman.....” maka itulah pengubat jiwa bila ujian datang melanda. Sedangkan Nabi juga pernah dicaci dan dihina! Kesemuanya menjadikan kita matang dalam mendepani cabaran semasa.
Pengalaman dan pengajaran dari kehidupan yang lalu bersama ibuku merupakan Ijazah yang sangat penting untuk ku jadikan benteng dalam menjalani kehidupan ku di masa ini bersama keluarga. Banyak permata berharga dan tinggi nilainya yang ku peroleh dari seorang manusia yang sangat berjasa. Bukan emas perak menjadi tinggalan harta ketika meninggal dunia, tetapi kata-kata hikmah, tingkahlaku dan perbuatan, kesabaran dan sifat redha serta qanaah atau berpada, menjadikan ibuku sangat hebat sebagai seorang manusia disisi Tuhannya.Terlalu banyak yang ku perolehi yang tidak dapat ku ceritakan semua. Biarlah ianya menjadi kenangan untuk ku bawa hingga ke akhirat sana. Belajar di Madrasah Ibuku membuatkan aku berjaya menjadi manusia dan dipandang mulia. Semuanya disebabkan jasa mu ibu! Terima Kasih, wahai Bonda!.
Nukilan :Pn Hjh Anita bt Ali
Ketua Wanita JIM Negeri Perak (Sesi 2007-2009)